Kerajaan Bani Umaiyyah mengutamakan pengukuhan politik dan
kurang mengambil berat perkara agama. Sesetengah khalifah dan amir mereka tidak dihormati oleh
rakyat, samada kalangan ulama juga masyarakat awam. Hal itu ekoran kezaliman
yang mereka lakukan terhadap sesiapa sahaja yang menentang, seperti: Sa’id ibn
Jubair telah dibunuh oleh al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi. Sehubungan dengan
itu, bangkitlah pakatan sulit untuk menjatuhkan karajaan Umaiyyah.
Gerakan sulit yang didokong oleh Ahli al-Bait juga Bani
Abbasiyah berjaya menumbangkan kerajaan Bani Umaiyyah pada tahun 132 Hijrah.
Justeru, bermula detik tersebut berpindahlah kuasa pemerintahan kepada Bani
Abbasiyah yang mana khalifah pertama disandang oleh Abu al-Abbas Abdullah ibn
Muhammad ibn Ali Abdullah ibn Abbas yang dikenali dengan al-Saffah. Apabila
tegaknya kerajaan Bani Abbasiyah, berlaku perkembangan pesat dalam bidang
ilmiah umumnya dan terhadap Fiqh Islam khususnya yang tidak dicapai pada
masa-masa sebelum dan selepasnya.
Kematangan Perundangan Islam dan perbendaharaan Fiqh
mencapai mercu yang tinggi. Seterusnya juga Fih Islam telah terbentuk menjadi
ilmu yang tersendiri atau terpecah daripada ilmu-ilmu lain. Dimana lahir ketika
itu kalangan ulama yang menumpukan kajian serta penulisan bidang-bidang
tertentu dalam perbahasan merek. Sebagai contohnya: Ilmu Usul al-Fiqh telah
dibukukan menjadi ilmu tersendiri. Kesannya, munculah metodologi istinbat hukum
juga dasar-dasar dalam berijtihad sebagaimana yang diiltizamkan serta dipatuhi
oleh mujtahid pada masa itu. Ia sekaligus menjadi landasan yang perlu diikuti
oleh mereka yang ingin berijtihad untuk istinbat hukum daripada dalil-dalil
juz’i.
Konteks Fiqh serta Perundangan Islam pada Zaman Tadwin,
telah lahir 13 orang kalangan Mujtahid Mutlak. Dimana mereka merupakan kalangan
imam Mazahab Sunni yang telah mendapat pengiktirafan jumhur ulama serta menjadi
ikutan kaum muslimin selepasnya. Mereka itu ialah:
1. Sufiyan ibn Uyainah (Mekah)
2. Malik Ibn Anas (Madinah)
3. Al-Hasan al-Basri (Basrah)
4. Abu Hanifah al-Nu’man &
Sufian al-Thauri (Kufah)
5. Al-Auza’Ie (Syam)
6. Syafi’i & al-Laith ibn Sa’d
(Mesir)
7. Ishak Ibn Rahawiyah al-Marwazi
(Naisabur)
8. Ibrahim ibn Khalid (Abu Thur) /
Ahmad ibn Hambal / Daud Ibn Ali As-Asbahani / Muhammad Ibn Jarir al-Tabari
(Baghdad)
Walau bagaimanapun, sebahagian daripada mazhab Fiqh tersebut
telah berlalu, manakala sebahagian yang lain masih berterusan serta masih ramai
pengikutnya. Apa yang perlu dijelaskan di sini, setiap imam mazhab tersebut
mempunyai usul atau dasar dan furu’ masing-masing. Setengah kaedah istinbat dan
sumber hukum yang digunakan mendapat persepakatan dan ada pula yang
di[erselisihan di kalangan mereka. Sebagai contohnya: Imam Malik mengutamakan
amalan penduduk Madinah daripada al-Qiyas, sedangkan Daud al-Zahiri pula
menolak al-Qiyas sebagai sumber perundangan. Seterusnya Imam Abu Hanifah
menggunakan al-Istihsan sebagai dalil zanni dan ia ditolak oleh Imam Syafi’i.
Untuk itu, ulama serta imam mazhab yang lahir pada waktu itu
secara majoritinya menentang taklid atau berpegang dengan suatu aliran dan
mazhab tertentu sahaja. Semua itu untuk menegah timbulnya perasaan fanatic atau
taksub kepada imam dan mazhab tertentu sahaja. Apa yang pentingnya, kaum
muslimin hendaklah mengambil mana-mana sahaj fatwa yang benar daripada
pendapat-pendapat imam dan mujtahid serta mampu memilihnya secara bebas yang
sekaligus menyebabkan kajian berlangsung secara meluas juga pesat. Sehubungan
dengan itu, muncul pada zaman tersebut wilayah yang menjadi pusat ilmiah dan
perkembangan Fiqh, iaitu: Baghdad, Kufah, Basrah, Madinah, Mekah, Mesir,
D’amsyiq, Naisabur, al-Qairawan di Afrika dan Cordova di Andalus.
No comments:
Post a Comment