PENGANTAR PERUNDANGAN DALAM ISLAM

PENGANTAR PERUNDANGAN DALAM ISLAM

Saturday, 26 March 2016

Mazhab Hanafi

Pengasasnya ialah al-Nu’man ibn Thabit ibn Zuta al-Taimi al-Kufi berasal daripada keturunan Parsi. Beliau dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bersamaan 699 Masehi di kota Kufah Iraq sewaktu pemerintahan Khalifah Abdul Malik ibn Marwan. Abu Hanifah meninggal dunia di Baghdad pada bulan rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masehi pada zaman pemerintahan khalifah al-Mansur. Kunyiah beliau ialah Abu Hanifah  dan gelarannya pula al-Imam al-A’zam disebabkan ilmunya yang luas dan beliau dinisbahkan kepada Kufah kerana tinggal dan hidup di sana. Beliau sempat merasai dua tampuk pemerintahan, iaitu pemerintahan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah. Menurut pendapat yang kukuh, Abu Hanifah termasuk kalangan pengikut Tabi’in biarpun beliau sempat hidup zaman empat orang sahabat, iaitu: Anas di Basrah, Abdullah ibn Abu Aufa di Kufah, Sahl ibn Sa’ad al-Sa’di di Madinah dan Abu al-Tufail ‘Amir ibn Wa’ilah di Mekah.

Sifat peribadi dan pendidikan.

Abu Hanifah memiliki bentuk badan yang menarik , dikurniakan kecerdasan otak luar biasa serta istimewa, seorang yang amat tekun dalam mempelajari ilmu, banyak beribadat serta tinggi cita-citanya. Beliau juga memiliki sifat peribadi mulia, tinggi akhlaknya, disenangi oleh semua golongan masyarakat dan peringkat. Beliau seorang yang pemurah, dermawan serta sentiasa menolong sesiapa sahaja yang perlukan bantuan.

Pekerjaan utama Abu Hanifah ialah berdagang kain dan pakaian. Pengalaman dan kerjayanya sebagai peniaga banyak membawa faedah dan pengalaman kepadanya dalam berurusan dengan orang ramai. Untuk itu muamalah tersebut telah dipraktikkan dalam  fiqhnya dengan menjadikan ‘urf sebagai salah satu sumber hukum yang dibina daripadanya sebagai hukum baru.

Abu Hanifah pernah diminta supaya memegang jawatan qadi pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah. Namun begitu, beliau sentiasa menolaknya dan bertindak menjauhkan diri daripada khalifah serta enggan memegang apa-apa jawatan. Ekoran pendirian dan keengganan mematuhi kehendak khalifah, Abu Hanifah pernah disebat sebanyak 100 kali oleh Yazid ibn Hubairah wali Iraq dengan pemerintah khalifah Marwan ibn Muhammad dari kalangan khalifah Bani Umaiyyah.


Pengaruh Mazhab Hanafi

Mazhab ini tersebar luas di Iraq, khasnya pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah. Ia juga telah menjadi mazhab rasmi kerajaan Uthmaniah dan masih berpengaruh hingga kini di Negara yang pernah ditakluki oleh kerajaan tersebut, seperti Mesir, Syria, Jordan, dan Lubnan. Dalam urusan ibadat terpengaruh khasnya di Turki.

Abu Hanifah tidak sempat mengumpulkan fiqh dan fatwa beliau, namun ia telah diusahakan oleh para sahabatnya, seperti Muhammad ibn al-Hassan yang bertindak membukukannya, antara kitab rujukan mazhab Hanafi ialah :

a.       Kitab yang dibukukan dan diambil menerusi  riwayat perawi yang kukuh. Dimana Muhammad ibn al-Hassan merupakan orang yang membukukan kitab Zahir al-Riwayat al-Sittah. kitab itu dibukukan dan diriwayatkan daripada Imam Muhammad ibn al-Hassan oleh perawi yang kuat dan dipercayai. Seterusnya kitab-kitab tersebut telah dikumpulkan dalam al-Kafi oleh Abu al-Fadlil al-Marwazi. Kemudiannya, pada abad kelima Hijrah, kitab al-Kafi itu disyarahkan pula oleh al-sarkasyi dalam kitab al-Mabsut.

b.      Kitab yang dibukukan dan diambil menerusi riwayat perawi tidak kuat. Dimana ia dinamakan dengan kitab Masa’il al-Nawadir.


Sebagai rumusannya, kitab rujukan dalam masalah yang berkaitan dengan fiqh mazhab Hanafi terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:


a.  Usul-usul, yang merupakan masalah-masalah yang dikenali dengan kitab-kitab Zahir al-Riwayat. Ia merupakan rujukan utama sebagai pegangan dalam Mazhab Hanafi.

b.      Kitab-kitab al-Nawadir, yang merupakan rujukan martabat kedua. Ia merupakan masalah-masalah yang diriwayatkan daripada imam dan sahabatnya.

c.       Al-Fatawa, merupakan martabat ketiga. Ia dikeluarkan oleh para guru mazhab Hanafi. Apa yang difatwakan oleh para ulama mazhab Hanafi yang kemudian, yang mana ia tidak diriwayatkan daripada imam dan sahabatnya.


Dasar Mazhab Hanafi

Abu Hanifah telah menetapkan beberapa usul yang menjadi asa istinbat hukum-hukum fiqh. Antara usul utama sebagaimana yang telah dinyatakan oleh beliau ialah:
a.       Al-Qur’an
b.      Hadis
c.       Ijma’
d.      Pendapat sahabat
e.      Al-Qiyas
f.        Al-Istihsan
g.       Al-‘Urf
 
 

No comments:

Post a Comment